Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, January 18, 2010

BERMULA SUDAH HIDUP BERREFLEKSI ...

TARIKH : 18/01/2010
HARI : RABU

Hari ini merupakan hari pertama saya melaporkan diri di SK ST.John. Seawal pagi saya dan rakan-rakan guru pelatih yang lain melaporkan diri di hadapan guru besar puan Helen Gasat. Beliau menerima baik kehadiran kami dan telah memberikan sedikit kata-kata perangsang sebelum beliau membawa kami berjumpa dengan PKHEM ST.John puan Delores untuk mendapatkan jadual waktu pengajaran sepanjang kami menjalani latihan di sekolah ini selama 3 bulan, yang mana akan berakhir pada 16 April 2010.

Seperti kebanyakan sekolah lain juga, iaitu pada hari pertama persekolahan setiap minggu akan diadakan perhimpunan pagi. Puan Helen telah mengambil kesempatan untuk memperkenalkan guru pelatih kepada semua pelajar dan juga kepada guru-guru. SK ST.John merupakan sebuah sekolah yang mempunyai 2 sesi persekolahan iaitu tahap 2 pada waktu pagi dan tahap 2 pada waktu petang. Oleh kerana sekolah ini turut berfungsi sebagai sekolah guna sama dengan pelajar sekolah menengah SM ST.John, kemudahan yang disediakan sememangnya terlalu terhad. Jumlah pelajar yang terlalu ramai juga menjadikan penggunaan ruang semakin terhad.

Sebagai seorang guru saya perlu bersedia untuk menerima keadaan sekolah seadanya dan memikirkan cara yang terbaik untuk menjalankan sesi pembelajaran dan pengajaran (P&P)dengan berkesan walaupun dalam keadaan yang tidak begitu kondusif. Saya sebenarnya bertuah kerana diberi peluang untuk mengenali dan mendidik murid-murid yang begitu aktif dan agresif. Saya akan menggunakan peluang ini sebaiknya untuk memandu anak murid saya menggunakan bakat dan kebolehan mereka seoptima yang mungkin.

Hari pertama saya di sekolah ini, saya belum lagi memulakan sesi P&P. Saya hanya berkenalan dengan rakan guru, meminta tunjuk ajar daripada guru mengajar kelas yang saya akan mengambil alih, mendapatkan nasihat daripada guru pembimbing, meninjau keadaan kelas dan kedudukan kelas, serta melihat kemudahan-kemudahan yang boleh digunakan sebagai alat bantu mengajar.

Secara keseluruhannya, saya telah memulakan hari pertama dengan menyelesaikan perkara-perkara yang perlu saya usaikan pada minggu pertama bermulanya latihan praktikum. Saya berpuas hati dengan keadaan sekolah dan bersemangat untuk berkhidmat di sekolah ini. Sepertinya untaian lirik yang telah dialunkan dalam lagu sekolah SK ST.John diawal pagi telah memberi saya inspirasi yang mendalam untuk bertekad berkhidmat cemerlang di SK ST.John ini. Moga harapan terus membara selamanya.

RAHMAT UJIAN...



Dalam kita menghadapi ujian ......
Pasti ada jalan keluarnya......


Sebagai langkah pertama cuba fahami dan hayatilah pesanan Nabi Muhammad SAW yang berbunyi "sebaik-baik ibadah ialah sabar menunggu jalan keluar". Ini bermakna tidak ada satu ujian pun yang akan kekal. Mana mungkin ada malam yang tidak ada siang, pagi tanpa digantikan dengan petang, mana mungkin banjir berpanjangan dan tidak akan terjadi kemarau berpanjangan. Jika ini kenyataan yang terjadi bermakna Allah tidak pernah tidak adil pada makhluknya. Bagi memperhatikan lagi cinta Allah pada makhluk-Nya dan membuktikan lagi kehebatan Allah Yang Maha Adil maka dibekalkan makhluk-Nya dengan pesanan melalui surah Hud :81 yang berbunyi "bukankah Subuh itu sudah tiba." Subuh bermakna betapa pun panjangnya malam pekat pasti akan bertemu dengan waktu tamatnya.

Oleh iu betapa pun berat dan panjangnya penderitaan yang ditanggung oleh hamba Allah, Dia telah menjelaskan pasti Allah menemukan saat penyembuhan untuk keluar daripada permasalahan itu. Subuh bermakna cahaya fajar bagi orang yang ditimpa kesedihan itu telah menyerlah. Maka pandai-pandailah merasai sapaan dan sentuhan suria pagi, tunggulah panasnya bebola mentari pagi sebagai tanda bahawa kemenangan telah datang dari Yang Maha Berkuasa.

Oleh itu laluilah kehidupan dengan keyakinan,dan rasailah sentuhan Allah tidak pernah putus daripada kita hamba-Nya. Ini dipastikan dalam janji Allah bahawa Allah tidak pernah mengantuk, tidak pernah penat, berhenti mengurus langit dan bumi serta seluruh isinya.
Anggaplah suatu permasalahan itu sebagai seperti seutas tali. Jika tali itu sudah sangat tegang, maka ia akan segera putus. Ertinya jika persoalan itu sudah kritis atau matang, maka tunggu kerana ia pasti akan berhenti dan ditemukan dengan jalan keluar. Allah akan pastikan setiap kesedihan dan kegembiraan itu menemui penghujungnya.

Ini ditegaskan lagi oleh Allah, "dan barang siapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan kemudahan dalam urusannya (QS Ath-Thalaq:4). Ini janji Allah yang sangat pasti, maka bangunkan keyakinan dan panjatkan doa dan kesedihan kepada-Nya, pasti kita akan berasa bahawa kesedihan tidak berpanjangan kerana Allah tidak membenarkan keadaan itu terjadi selagi kita hambanya tidak berputus asa dari rahmat Allah. Sebab itu Allah menjanjikan, "maka, sesungguhnya bersama dengan kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan." (QS Al: Insyirah:5-6) Dengan syarat kita yakin sepenuhnya bahawa apa yang kita lakukan kerana Allah dan mahu mendapat reda Allah, bukan kerana manusia.

Fikir-fikirkanlah dan renung-renungkanlah....